Thursday, 19 September 2013

Sweetnya Allah ~


Suatu hari di kantin, rakan-rakan sibuk gosipkan diriku dengan seorang guru lelaki satu ‘batch’ induksi. Masing-masing tidak membantah kerana daerah yang sama dengan tempat aku mengajar. Tapi takdir Allah, ada seorang guru yang aku panggil dengan panggilan ‘akak’ menyapa.
“Akak tak kisah dengan siapapun awak akan pilih, tapi satu pesan akak apa yang kita inginkan mintalah dengan Dia dalam solat dhuha. Buatlah solat dhuha dan khabarkan hajat itu padaNya.”
Aku terdiam. Setelah lama berfikir akhirnya tergerak hati ini untuk tunaikan solat dhuha. Selama ini aku sekadar membaca kelebihan orang yang tunaikan solat dhuha.
Sweetnya Allah dia sampaikan hidayah kepadaku melalui orang lain. Kini, impian untuk mendirikan rumahtangga telah tertunai meskipun bukan dengan lelaki tersebut.
Jam menunjukkan pukul 2 pagi, terdengar suara rengekan si kecil Zahra tanda lapar. Lantas aku bangkit untuk bancuh susu. Terdetik di hati kalaulah aku tunaikan solat tahajjud sementara menunggu Zahra habiskan susu lagi baik. Mungkin ini panggilan dari Allah untuk hamba yang dikasihiNya.
Sweetnya Allah dia kejutkan hamba-Nya untuk bangun malam dengan cara yang cukup lembut. Adakalanya kita bangun di tengah malam untuk buang air kecil dan lapar, itulah tandanya Allah bangunkan kita untuk merintih dan mengadu pada-Nya. Namun seringkali kita alpa dan lupa.
tumblr_mhejsngjj01s3janfo1_500
Seperti biasa aku menjalani rutin harianku setiap hujung minggu untuk memandu  balik ke Terengganu berjumpa suami dan anak.  Sesungguhnya hati manusia ini sering berbolak balik. Terdetik juga di hati kenapa aku tidak mendapat peluang seperti orang lain hidup bersama-sama suami dan anak-anak. Teringin sekali masak menu kegemaran mereka untuk makan tengahari dan malam. Menghabiskan waktu petang bersama-sama.
Tapi sweetnya Allah dia ingin tarbiyyah diriku dengan sifat sabar. Tanda kasih sayang-Nya kepada hamba. Barulah aku terfikir Allah rindu akan rintihanku. Mungkin apabila bersama dengan orang yang aku sayangi, masa untuk aku mengadu pada-Nya lebih singkat dari biasa.
Sweetnya Allah aku diajar  untuk menjadi seorang yang redha dengan ujian-Nya. Aku manfaatkan masa sepanjang perjalanan selama enam jam itu untuk berzikir dan berdoa kepada-Nya agar kami diberikan kesempatan untuk hidup bersama. Dengan imtihan ini aku kenal erti kasih sayang,lebih menghargai,bersyukur, perikemanusiaan dan sabar.
“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah, ayat 216)
Adakalanya kita persoalkan mengapa harus kita yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan. Tapi pernahkah kita persoalkan mengapa kita yang harus mendapat kejayaan dan kenaikan pangkat ini, bukan orang lain?
Sweetnya Allah dia uji hamba-Nya untuk meningkatkan keimanan dan menghapus dosa-dosa silam jika kita redha dengan ujiannya. Di setiap kepahitan pasti ada kemanisannya.
“… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan.” (Surah Al-Insyirah)
Kehidupan manusia di bumi tidak ubah seperti seorang pengemis. Yang sentiasa meminta pada Ya Wahab agar menunaikan segala kehendak kita. Sikap manusia yang sentiasa merasa ingin lebih dan tidak cukup menyebabkan kita sering meminta-minta.
Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki kerana nikmat yang ada pada kita adalah pinjaman Allah yang akan dipertanggungjawabkan di padang Masyar kelak.
iluvislam, alhamdulillah


SYUKRAN FOR READING. MOGA BERMANFAAT

Sahabat Dunia Akhirat ♛

Memiliki sahabat sejati merupakan satu anugerah yang tidak ternilai kerana sahabat boleh mewarnai dan mempengaruhi kehidupan kita, baik dari sudut kebendaan, kecenderungan mahupun tingkah laku. Sama ada kita akan terikut-ikut dengan kecenderungannya, ataupun sebaliknya, dia akan terpengaruh dengan kita.
Secara umumnya, kita melihat orang yang baik akan bersahabat dengan orang yang baik dan begitu juga sebaliknya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Perumpamaan orang yang bersaudara adalah seperti dua tangan, yang satu membersihkan yang lainnya.” (Riwayat al-Dailamai)
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya :
“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda sebahagian ataupun anda membeli bau-bauan daripadanya, ataupun sekurang-kurangnya anda mendapat juga bau daripadanya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang kurang enak.” (Riwayat Abu Daud)
Oleh sebab itu, kita harus berhati-hati untuk menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman ataupun sahabat. Sahabat semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk kita ikuti dan contohi. Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.
iluvislam, ukhwah, sahabat
Sifat Sahabat yang Mulia
1. Memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik.
Seseorang yang disenangi, mempunyai akal yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi perintah Allah. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Berbicara dengan penuh kelembutan dan kesopanan.
2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik semasa sahabat ada ataupun tiada.
Tidak menderitakan keaiban orang lain kepada sahabatnya dan jika dia melihat sesuatu yang tidak baik tentang diri kita, dia akan menjaga aib tersebut.
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat.” (Riwayat Ibn Majah)
3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan oleh sahabatnya.
Sering menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin berkongsi kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur waktu kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan. Sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.
4. Menyebut kebaikan.
Jika dia mendapat sesuatu kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan menyebut-nyebut kebaikan itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita tidak mampu membantunya.
 5. Mudah mengalah.
Jika berlaku salah faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga hubungan. Mengorbankan perasaan sendiri demi menjaga hati sahabatnya.
6. Mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Saling nasihat-menasihati berkenaan hal-hal dunia dan akhirat.
Bersedia untuk menerima nasihat dan menasihati.
sahabat, iluvislam, kawan, ukhwah
Sifat Sahabat yang Perlu Dijauhi
1. Mementingkan diri sendiri.
Dia terlalu banyak meminta dan sedikit memberi. Mementingkan diri sendiri yang kedekut dalam setiap perkara. Keutamaannya ialah nafsu diri sendiri kerana tamak kepada kemewahan dan harta dunia.
2. Pengampu.
Setiap perkara yang kita lakukan dia akan bersetuju, tida kira sama ada perkara itu betul ataupun salah. Apabila di hadapan, dia memuji kita namun di belakang kita, dia merendahkan dan mungkin mengkhianati kita.
3. Pemboros dan suka hiburan.
Apabila seronoknya datang, dia menjadi kawan yang setia. Dia senang menjadi sahabat jika kita suka berhibur, berkeliaran dan “melepak” pada bila-bila masa, serta suka ke tempat-tempat hiburan dan meminati hiburan yang melalaikan.
4. Membuatkan kita semakin jauh daripada Allah.
Seorang yang sesat dan menyesatkan orang lain serta mendekati jalan-jalan kemungkaran.
Hidupnya penuh dengan ranjau dan onak yang membawa kepada kekufuran.
5. Suka berbantah-bantah.
Jenis orang yang suka bertikam lidah dan ia merasakan satu kemenangan dalam berhujah dan langsung tidak mahu mengalah untuk menerima pandangan orang lain.
Berhati-hatilah memilih sahabat kerana ia menjadi cermin keperibadian kita. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari reda-Nya.Hayatilah Firman Allah ini :
“Pada hari itu (hari akhirat), sahabat-sahabat karib; sebahagian mereka akan menjadi musuh kepada sebahagiaan yang lain, kecuali orang yang bertaqwa.” (Surah al-Zukhruf : 67)

SYUKRAN FOR READING. MOGA BERMANFAAT